MELAKA 22 Nov. – LG Electronics (M) Sdn. Bhd. (LG) telah membuka kedai rakan niaganya yang kedua di negeri ini, selaras dengan sasaran mereka bagi mempunyai 30 cawangan di seluruh negara.
Pengurus Besar Pemasaran LG, Kong Mun Keen berkata, pembukaan kedai rakan niaga baharu itu bakal memberi ruang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan elektrik dengan mudah di lokasi masing-masing.
“Dengan adanya kedai ini, pengguna juga boleh datang dan melihat serta mencuba sendiri produk-produk yang dijual bagi memberi kepuasan kepada mereka sebelum membuat keputusan untuk membeli barangan berkenaan.
“Dalam pelancaran kedai rakan niaga hari ini juga kami menawarkan pelbagai jenis tawaran istimewa kepada pengguna dalam tempoh tertentu bersempena dengan majlis pelancaran kedai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum melancarkan kedai rakan niaganya itu di Jalan Munshi Abdullah di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Jualan LG, Patrick Seow dan Pengurus Jualan Serantau LG, Chong Xu Jenn. – UTUSAN ONLINE










