Lelaki parah kemalangan ketika lari pemeriksaan polis - Utusan Malaysia

Lelaki parah kemalangan ketika lari pemeriksaan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING 22 Nov. – Padah menimpa dua lelaki apabila mereka bukan sahaja berjaya dicekup malah seorang daripadanya cedera parah dalam kemalangan ketika melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Taman Kaya di sini semalam.

Lelaki berusia 27 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan itu ditemukan pengsan dengan kesan kecederaan parah akibat tersepit dalam kemalangan berhampiran persimpangan lampu isyarat Changkat Ibol.

Rakannya yang memandu kereta jenis Toyota Corrolla berusia 29 tahun bagaimanapun melarikan diri sejurus kemalangan berlaku.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Razlam Ab. Hamid berkata, kejadian pada pukul 7.30 pagi itu berlaku semasa anggota URB sedang menjalankan rondaan sebelum menghampiri kereta dinaiki suspek yang berhenti di tepi jalan.

Katanya, menyedari kehadiran polis, suspek telah memandu secara merbahaya dan merempuh salah seorang anggota URB sehingga terjatuh bersama motosikalnya.

“Suspek berjaya melarikan diri dengan memecut laju keretanya ke arah Jalan Air Kuning dan menghala ke Jalan Kuala Kangsar sebelum hilang daripada pandangan.

“Anggota yang mengikuti arah jalan suspek melarikan diri telah ternampak kereta itu terbabas di hadapan sebuah kedai dalam keadaan remuk teruk kerana berlanggar dengan sebuah treler dan kereta Proton Wira,” katanya.

Menurut beliau, suspek yang parah di bahagian penumpang hadapan berjaya dikeluarkan daripada kereta dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan kereta menemukan satu paket dadah jenis heroin seberat 0.5 gram selain beg galas mengandungi topeng ski hitam, buku lima besi, sebatang besi diubah suai yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah dan curi motosikal serta sebilah parang panjang.

“Pemandu kereta yang melarikan diri itu berjaya ditangkap pada pukul 1 pagi ini di Kampung Kubu di Bukit Gantang.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua mereka mendapati masing-masing mempunyai tiga rekod lampau bersabit kes dadah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN