KUCHING – Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam sebuah parit di Jalan Demak di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu, mangsa yang dikenal pasti sebagai Hamdani, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mayat mangsa bagaimanapun hanya ditemui mati di dalam parit berkenaan oleh orang awam pada pukul 8.20 pagi.
Jelasnya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang mangsa telah menghempap bahagian badannya.
“Lebih ngeri, kepala mangsa yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah kilang di Pending di sini telah tercucuk batang besi di dalam parit berkenaan.
“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kemalangan kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE










