PULAU PINANG 21 Nov. – Polis telah menyiapkan kertas siasatan berkaitan tragedi Bukit Kukus dan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, pihaknya akan menunggu arahan lanjut berkaitan perkara itu bagi mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Kita telah siapkan kertas siasatan berkaitan tragedi itu dan akan serahkan kepada pihak pendakwaan hari ini untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 1,000 tetamu itu diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.
Ditanya mengenai laporan polis ke atas Menteri di Jabatan Perdana, P. Waytha Moorthy, Thaiveegan berkata, beliau telah mengarahkan setiap ibu pejabat Polis Daerah untuk mengumpulkan maklumat.
“Kita juga akan kumpulkan maklumat berkaitan laporan polis yang dibuat sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










