Lafaz kalimah syahadah melalui telefon - Utusan Malaysia

Lafaz kalimah syahadah melalui telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 23 Nov. – Panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali kira-kira 35 tahun dahulu yang menyuruhnya memeluk Islam menjadi isyarat kepada seorang wanita berbangsa Cina supaya tidak melengahkan lagi hasrat yang sudah dipendam sekian lama.

Siti Aisyah Thow Abdullah atau nama asalnya, Thow Kwai Teng,54, yang kini menetap di Bunut Susu, Pasir Mas memeluk agama Islam pada usia 19 tahun semasa menjawab panggilan telefon di rumah keluarganya dahulu di Cheras, Kuala Lumpur.

SIti Aisyah berkata, dia meminati agama Islam sejak zaman persekolahan lagi dan bersahabat dengan ramai rakan Melayu tetapi tidak ada sesiapa yang mengajaknya masuk Islam dan dia sendiri tidak tahu cara.

Sebahagian peserta termasuk Siti Aisyah Thow Abdullah
Sebahagian peserta termasuk Siti Aisyah Thow Abdullah (tiga kanan) menunjukkan sijil masing-masing di Majlis Khatam Al-Quran di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) iaitu pusat pembelajaran kelolaan Islamic Outreach ABIM Centre Kelantan (IOACK) di Kota Bharu hari ini. Pemberita dan gambar – Asma Hanim Mahmood

“Suatu hari saya menjawab panggilan telefon daripada pekerja Telekom yang mahukan maklumbalas keadaan talian telefon rumah saya selepas dibaiki mereka, dia agaknya terkejut saya mampu berbahasa Melayu dengan baik lalu menceritakan kelebihan saya kepada rakan sekerjanya.

“Pada hari sama sekali lagi telefon berdering dan kali ini seorang lagi pekerja Telekom menghubungi kami, dia tidak bercakap panjang tetapi hanya memberitahu mahu mengajak saya masuk Islam kerana rugi katanya gadis muda yang baik tidak dapat hidayah, dia mengajar saya kalimah syahadah dan saya ikut tanpa masalah kerana sudah lama menanti peluang bergelar muslim,” katanya.

Siti Aisyah ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Khatam Al-Quran di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) iaitu pusat pembelajaran kelolaan Islamic Outreach ABIM Centre Kelantan (IOACK) di sini hari ini.

Wanita ini adalah salah seorang daripada 22 peserta termasuk pelajar Madrasah Pengajian Islam (MPI) di sini yang berjaya khatam Al-Quran dan telah menerima sijil daripada Ahli Jawatankuasa IOACK, Abdul Khalid Ahmad.

Sementara itu, Siti Aisyah berkata, panggilan telefon itu bukan sahaja merubah pegangan hidupnya dari Buddha kepada Islam bahkan telah menemukannya dengan jodoh apabila lelaki yang mengajarnya syahadah itulah yang menjadi suaminya.

Hasil daripada perkongsian hidup dengan Said Abdullah, 55, pasangan ini dikurniakan tujuh anak berusia 19 tahun hingga 33 tahun serta tiga cucu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×