TAPAH 14 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 236 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) bernilai RM23,272 dalam serbuan di Temoh, kelmarin.
Serbuan yang dijalankan pada kira-kira pukul 6 petang itu adalah hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tapah, Mohd. Ziyad Ismail berkata, selain merampas tong gas dengan berat keseluruhan 2,312 kilogram, pihaknya turut menyita sebuah lori bernilai RM8,000 di lokasi kejadian.
Katanya, dalam serbuan itu seorang lelaki berusia 55 tahun yang mengaku sebagai pemilik rumah dan stor simpanan ditahan untuk diambil keterangan.
“Pemeriksaan mendapati, pemilik premis menjadikan sebuah rumah dan stor tidak dilesenkan sebagai tempat simpanan sementara barang kawalan LPG sebelum diedarkan kepada pelanggan di sekitar Tapah.
“Lelaki itu juga mengaku tidak pernah memohon lesen daripada KPDNHEP dan kebenaran daripada pihak bomba untuk menyimpan dan berurus niaga barang kawalan LPG,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati bekalan barang kawalan LPG itu diterima daripada pembekal dan pemborong yang beroperasi di sekitar Ipoh yang mempunyai lesen yang sah daripada KPDNHEP.
Ujar beliau, kegiatan itu dipercayai telah aktif sejak tiga hingga lima bulan lalu.
“LPG adalah salah satu barang kawalan berjadual dan dikawal selia oleh kementerian ini di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Beliau memberitahu, bagi kesalahan yang melibatkan barang kawalan LPG oleh KPDNHEP Tapah sejak Januari sehingga kelmarin, pihaknya telah merekodkan lima kes dengan nilai rampasan berjumlah RM125,230.










