PARADISE, California – Beribu-ribu anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di utara dan selatan California kelmarin ketika pasukan penyelamat menyelongkar kediaman dan kereta yang hangus untuk mencari mangsa yang terkorban.
Kebakaran hutan itu adalah yang paling dahsyat dalam sejarah negeri Amerika Syarikat tersebut.
Sekurang-kurangnya 50 kematian dilaporkan di seluruh California dalam kebakaran besar pada penghujung musim luruh itu dengan nasib beratus-ratus mangsa tidak diketahui, menyebabkan angka kematian berkemungkinan besar terus meningkat.
Kebanyakan kematian berpunca daripada kebakaran dikenali sebagai Camp Fire yang marak di Paradise dan sekitarnya. Bandar itu mempunyai populasi 26,000 orang dan terletak di kawasan kaki pergunungan Sierra Nevada, kira-kira 130 kilometer ke utara Sacramento.
“Hari ini (kelmarin), enam lagi mayat telah dijumpai, menjadikan korban bertambah kepada 48 orang. Kesemua enam mayat ditemui di bandar Paradise,” kata Sherif Kory Honea pada satu sidang akhbar.
Dua lagi kematian dilaporkan berpunca daripada kebakaran Woolsey Fire di utara Los Angeles.
Kebakaran Camp Fire yang bermula pada Khamis lalu itu membinasakan tanah seluas 50,600 hektar, demikian menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire).
Kebakaran itu juga memusnahkan lebih 6,500 kediaman dan 260 hartanah komersial. Usaha memadamkan api pula melibatkan 5,600 anggota bomba dengan sebahagiannya dikerahkan dari negeri Washington dan Texas.
Woolsey Fire yang juga bermula pada Khamis lepas mengakibatkan kawasan seluas 39,300 hektar musnah, manakala 40 peratus api berjaya dikawal.
Cal Fire berkata, lebih 3,500 anggota bomba terlibat memadamkan kebakaran itu. – AFP










