Kontraktor abai keselamatan awam - Utusan Malaysia

Kontraktor abai keselamatan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 4 Nov. – Sikap segelintir kontraktor projek perumahan yang mengabaikan aspek ke­selamatan tempat kerja mampu mengundang kecelakaan kepada orang lain.

Perkara itu dilihat semakin serius terutama dalam kalangan kontraktor kecil yang melaksana­kan projek pembinaan di tanah persendirian ekoran kurang pe­mantauan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Itulah yang berlaku di lot rumah dua tingkat di Taman Semabok Perdana di sini apabila bahan binaan yang digunakan untuk kerja-kerja menyiapkan kediaman itu diletakkan sesuka hati di tepi jalan.

Lebih membimbangkan, bahan-bahan binaan seperti besi telulang, besi perancah, tiang konkrit, kayu, simen dan sebagainya hanya diletakkan di tepi tapak projek hingga memasuki sebahagian jalan raya.

Walaupun hanya laluan taman, aspek keselamatan pengguna dan penduduk di kawasan itu tidak boleh diambil mudah kerana sebarang kecuaian daripada pihak kontraktor atau pengguna jalan raya boleh me­ngundang padah.

Bayangkan ancaman dan kemungkinan orang ramai yang melalui kawasan itu terlanggar bahan binaan yang ditinggalkan dalam keadaan tidak tertutup itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati, di setiap sudut luar kawasan pembinaan itu diletakkan bahan-bahan binaan berkenaan malah zink yang menutupi kawasan projek juga sebahagiannya sudah roboh namun tidak dibaiki.

Ternyata pihak kontraktor yang diberi tanggungjawab me­laksanakan projek tersebut langsung tidak mempedulikan aspek keselamatan orang ramai.

Difahamkan, masalah itu sudah berlarutan kira-kira hampir setahun sejak projek tersebut dimulakan tahun lalu.

Bagaimanapun, kerana tiada sebarang aduan dibuat kepada PBT bertanggungjawab yang me­nyelia kawasan perumahan itu maka pihak kontraktor menganggap itu bukanlah satu ke­salahan.

Sehubungan itu, pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) diharap dapat memantau kerja-kerja pembinaan terutama di kawasan perumahan.

Selain itu penguatkuasaan yang lebih tegas diharap dapat menimbulkan kesedaran pemilik rumah dan kontrakor mengenai amalan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN