Kompleks Pusat Islam Rantau dilanda banjir kilat - Utusan Malaysia

Kompleks Pusat Islam Rantau dilanda banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU 22 Nov. – Kawasan Kompleks Pusat Islam Rantau yang menempatkan Masjid Imam Haji Kahar di Bandar Ekar Rantau di sini ditenggelami air sedalam hampir satu meter akibat banjir kilat pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Muhd. Efeendi Rahmat berkata, banjir kilat kira-kira pukul 11 pagi yang disebabkan hujan lebat itu turut menjejaskan dua buah kuarters yang didiami imam dan bilal masjid tersebut.

“Air memasuki kedua-dua kuarters itu tetapi cepat surut dan kesemua mangsa tidak diarahkan berpindah.

“Salah sebuah kuarters didiami imam bersama tiga ahli keluarganya, manakala sebuah lagi kuarters didiami oleh bilal yang masih bujang,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Muhd. Efeendi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.01 pagi dan banjir telah surut ke paras kurang setengah meter apabila pasukannya tiba di lokasi kejadian kira-kira 14 minit kemudian.

Ujarnya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang bersama sebuah jentera dikerahkan memberi bantuan kepada mangsa.

Katanya, banjir kilat itu dipercayai berlaku ekoran air dari sebuah projek perumahan berdekatan Kompleks Pusat Islam Rantau mengalir dan bertakung di pekarangan kompleks itu.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan turut meninjau keadaan banjir di kompleks tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN