TOKYO 7 Nov. – Usaha kerajaan Malaysia mendapatkan kerjasama JR Kyushu Railway Company bagi meneliti masalah pengangkutan tren di Malaysia adalah untuk memastikan perkhidmatan itu memberikan manfaat sepenuhnya kepada negara dan pengguna, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, Malaysia meminta kerjasama syarikat Jepun itu untuk membuat kajian berkenaan supaya peranan dan manfaat operasi perkhidmatan tren dapat dipertingkatkan termasuk dalam hal melibatkan penghantaran kargo.
“Sekarang ini perkhidmatan tren kita hampir siap sepenuhnya … dah siap semua double tracking dan electrification (landasan berkembar dan berkuasa elektrik). Bagaimanapun penggunaannya hanya 30 peratus sahaja dan ada 70 peratus potential railway (potensi tren) yang tidak diguna,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, di Malaysia, banyak kontena besar dibawa melalui jalan darat yang menjadi tidak cekap dan mengganggu perjalanan kerana saiznya yang besar.
“Kena guna railway (tren) untuk transportation of containers and big items (pengangkutan kontena dan barangan besar). Railway kita electrified (sudah menggunakan kuasa elektrik) tapi tak boleh bawa kontena. Di Jepun ada sistem untuk tren to move the trade (memajukan perdagangan),” katanya.
Perkara berkaitan kajian JR Kyushu Railway itu merupakan antara perkara yang dibincangkan sewaktu pertemuan Dr. Mahathir dan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe di sini Selasa.
Dr. Mahathir berkata, Jepun mempunyai banyak pengalaman dalam perkhidmatan tren, malah dulu perkhidmatan tren adalah milik kerajaan negara itu dan selalu mengalami kerugian.
“Maka mereka privatise (menswastakan) perkhidmatan itu bukan kepada satu company (syarikat) tetapi beberapa company. Mereka jadi profitable (menguntungkan) terutama JR Kyushu. Sebab itu kita pergi ke Kyushu berjumpa railway administration (pihak pengurusan syarikat kereta api) untuk tahu bagaimana mereka berjaya,” katanya.
Sementara itu Dr. Mahathir berkata, Dasar Pandang ke Timur bukan hanya melibatkan Jepun tetapi juga China dan Korea Selatan.
Katanya, tujuan dasar itu bukan hanya untuk menarik pelaburan tetapi ingin belajar banyak perkara dari negara di Timur, khususnya Jepun.
“Bagaimana mereka boleh berjaya. Kejayaan atau kegagalan orang dan kaum bergantung kepada nilai hidup yang dipegang.
“Nilai-nilai hidup mereka dikekalkan … cuma dari segi teknologi, ilmu, susunan kerajaan itu mereka peroleh daripada Barat. Dari segi kerja mereka masih berpegang kepada nilai-nilai Jepun,” katanya. – BERNAMA










