KUALA LUMPUR 27 Nov. – Selepas dituduh bersikap seperti ah long, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akhirnya mengurangkan syarat potongan gaji pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Setelah ditekan pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili mahasiswa, kerajaan memutuskan supaya potongan gaji itu dibuat sebaik sahaja gaji peminjam mencecah RM2,000 sebulan ke atas, berbanding RM1,000 yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019.
Pengumuman tersebut dilabelkan sebagai satu lagi tindakan flip-flop oleh kerajaan PH, namun

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mempertahankan keputusan itu dengan menganggap kerajaan mendengar rintihan rakyat.
Pengumuman itu dibuat Nie Ching dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini ketika menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengenai pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang bangun untuk bertanyakan soalan tambahan menyoal bagaimana kerajaan boleh menukar syarat tersebut dalam tempoh singkat sedangkan rakyat selama ini dimomok dengan masalah kewangan negara.
“Sebelum ini kata tiada duit sehingga syarat diketatkan, tetapi kini had dinaikkan kepada RM2,000, bagaimana perkiraan dibuat. Apapun tekanan akan terus diberikan (kepada kerajaan),” katanya.
Nie Ching bagaimanapun berkata, sekiranya kewangan bertambah baik, kerajaan akan terus mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi had gaji yang diberikan pengecualian.

Katanya, kerajaan juga memutuskan pengecualian bayaran balik PTPTN bagi peminjam yang mendapat keputusan kelas pertama, turut diperluaskan kepada golongan isi rumah golongan pertengahan (M40), berbanding hanya isi rumah berpendapatan rendah (B40) sebelum ini.
Kesemua keputusan baharu itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 November lalu.










