KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengemukakan dua kertas cadangan pelebaran jalan raya kepada Kementerian Kerja Raya untuk mengatasi masalah kesesakan trafik yang teruk berlaku di Cameron Highlands khususnya pada hari cuti.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kertas cadangan pertama melibatkan kerja menaik taraf jalan kembar dua lorong kepada jalan kembar tiga lorong di Seksyen 66.9 hingga 68.5, laluan Persekutuan FT059, Tapah-Cameron Highlands.
“Cadangan projek ini melibatkan pelebaran jalan di lokasi Kea Farm, iaitu dari arah Hotel Copthorne dan S’orner menuju Kea Farm.
“Ia telah pun dikemukakan ke Ibu Pejabat JKR Malaysia pada Julai lalu sebagai tujuan untuk diangkat ke peringkat pengurusan nilai serta dipertimbangkan untuk kelulusan sebagai projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) hingga RMK12,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 bagi menjawab soalan daripada Ching Yoke Kong (DAP-Tanah Rata) yang bertanyakan tentang langkah jangka masa pendek dan panjang yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands. – Bernama










