SEPANG 21 Nov. – Kerajaan meluluskan dua laluan penerbangan baharu kepada syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) iaitu dari Kota Kinabalu ke Sibu, Sarawak dan dari Kota Kinabalu ke Bintulu, Sarawak.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Ibu Pejabat AirAsia, RedQ, di sini hari ini.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Kabinet pada minggu lalu.
Berikutan keputusan itu jelasnya, kerajaan akan membayar denda kepada anak syarikat Malaysia Airlines, MASwings Sdn. Bhd. (MASwings) sebaik sahaja perjanjian antara kerajaan dan AirAsia ditandatangani menerusi perjanjian ‘Rural Air Services’ (RAS).
“Keputusan baharu itu memberi penjimatan kepada kerajaan antara RM10 dan RM20 juta setahun berikutan kerajaan tidak perlu lagi menanggung subsidi penerbangan bagi dua laluan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











