Keputusan rayuan isu bin Abdullah tangguh - Utusan Malaysia

Keputusan rayuan isu bin Abdullah tangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 22 Nov. – Isu sama ada anak luar nikah pasangan beragama Islam boleh menggunakan nama bapa masing-masing atau Abdullah sebagai nama keluarga, belum dimuktamadkan selepas Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menangguhkan keputusan rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop membenarkan permohonan JPN dan dua pihak lagi untuk menangguhkan rayuan selepas perayu memberi indikasi bahawa pertelingkahan berhubung isu ‘bin Abdullah’ itu boleh diselesaikan melalui pendekatan lain.

Hakim Ahmad berkata, walaupun kuorum berkenaan bersedia dengan keputusannya, mereka berpuas hati agar ia ditangguhkan selepas menimbang permohonan perayu.

Ujar beliau,  mahkamah turut menimbang bahawa responden terdiri daripada sepasang suami isteri dan anak mereka tidak mengemukakan bantahan manakala Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selaku pencelah tidak bersetuju dengan penangguhan.

Mahkamah kemudian menetapkan keputusan yang bakal menjadi nas undang-undang itu diumumkan pada satu tarikh lain.

JPN, Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepada kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dan kedua-dua ibu bapanya (identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah).

Pada 27 Julai tahun lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos 2016 yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.

Mahkamah Rayuan berpendirian, Ketua Pengarah JPN bertindak tidak wajar dan di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan  `Abdullah’ sebagai nama keluarga dalam sijil kelahiran anak tidak sah taraf itu.

Mahkamah ketika itu menegaskan, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membeza-bezakan urusan pendaftaran kelahiran di antara kanak-kanak beragama Islam atau bukan Islam.

Ini kerana Seksyen 13A(2) akta tersebut tidak menyatakan anak luar nikah yang beragama Islam mesti berbin atau berbintikan `Abdullah’ ketika mendaftarkan kelahiran.

JPN mendaftar `Abdullah’ sebagai nama keluarga dalam sijil kelahirannya ekoran keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 1981 dan 2003 berhubung perkara penamaan anak tak sah taraf (anak luar nikah).

Agensi itu bersandarkan kepada fatwa-fatwa berkenaan ketika menolak permohonan bertulis bapa kanak-kanak itu untuk menggunakan namanya sebagai nama keluarga atas alasan `tempoh tarikh kelahiran dan tarikh perkahwinan tidak mencukupi bagi subjek dinasabkan kepada bapa’.

Fatwa 1981 memutuskan anak zina atau luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibinkan atau dibintikan kepada Abdullah.

Fatwa 2003 pula memutuskan anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada anak tersebut.

Muzakarah mendefinisikan anak tak sah taraf ialah sebagai:

1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

2. Anak dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).  Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Ibu dan bapa kanak-kanak itu (perayu kedua dan perayu ketiga), kedua-duanya beragama Islam bernikah pada 24 Oktober 2009.  Kanak-kanak lelaki itu yang merupakan anak tak sah taraf, lahir pada 17 April 2010 iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN