WASHINGTON 27 Nov. – Ratusan cendekiawan menggesa supaya semua negara mengenakan sekatan terhadap China yang didakwa mewujudkan pusat tahanan etnik Uighur beragama Islam secara besar-besaran di wilayah Xinjiang.
Golongan tersebut memberi amaran bahawa kegagalan untuk mengambil tindakan tegas terhadap China seolah-olah dilihat membenarkan penyeksaan secara psikologi terhadap penduduk awam yang tidak bersalah.
“Situasi ini perlu ditangani bagi mengelakkan pandangan negatif pada masa depan mengenai penerimaan terhadap sebarang penindasan terutamanya berdasarkan etnik atau agama sesuatu penduduk itu.
“Semua negara perlu segera mempertimbangkan cadangan untuk memberi status pencari suaka kepada etnik Uighur dan mendesak PBB supaya menyiasat serta menutup semua pusat tahanan yang diwujudkan oleh China sebelum ini,” jelas golongan tersebut dalam satu kenyataan.
Beijing berdepan dengan banyak tekanan daripada kumpulan aktivis, pakar pendidikan dan kerajaan luar sejak beberapa bulan lalu berhubung isu penahanan serta kawalan ketat terhadap etnik Uighur yang dilakukan secara berterusan dan besar-besaran.
Pada Ogos lalu, panel hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan mereka menerima banyak laporan berasas yang menunjukkan lebih sejuta etnik Uighur dan beberapa etnik lain ditahan dalam pusat tahanan di Xinjiang.
Namun, China sehingga hari ini menafikan segala dakwaan berhubung menindas etnik Uighur dan menegaskan bahawa pusat tahanan yang dibangunkan bertujuan melindungi budaya serta agama kumpulan minoriti tersebut, selain mengekang kegiatan golongan pelampau. – REUTERS










