Kementerian Pendidikan usaha peruntukan SAR, sekolah agama persendirian - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan usaha peruntukan SAR, sekolah agama persendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Kementerian Pendidikan akan mengusahakan sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama persendirian diberi peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2019.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, dua jenis sekolah tersebut agak ketinggalan dalam belanjawan yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng awal bulan ini.

“Di pihak Kementerian Pendidikan, kita akan bawa dalam belanjawan tambahan peruntukan untuk SAR dan sekolah agama persendirian.

“Mungkin ada orang cakap ia sama dengan sekolah pondok dan sekolah tahfiz. Ia tidak sama, sekolah ini adalah sekolah yang menggunakan kurikulum kebangsaan tetapi ada tambahan mata pelajaran agama,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan forum Bahasa Jiwa Bangsa di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini malam ini.

Sebelum itu, Maszlee menjelaskan, peruntukan untuk sekolah tahfiz, sekolah pondok dan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dalam Belanjawan 2019 tidak diuruskan oleh Kementerian Pendidikan.

“Walaupun dalam ruang pendidikan tetapi untuk sekolah tahfiz dan sekolah pondok permohonan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala untuk SMPC, ia diuruskan secara langsung oleh Kementerian Kewangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×