SERDANG 24 Nov. – Memakai busana tradisional umpama di zaman Kesultanan Melayu Melaka merupakan antara kelainan yang dipaparkan sekumpulan peniaga bagi menarik pelanggan di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di sini.
Gerai yang diasaskan Shaiful Bahari Shaharudin, 46, turut membuatkan pengunjung pameran tersebut terpegun dengan aksi melambung kelapa setinggi tiga meter disertai langkah silat gayung sebelum air kelapa itu dihidang kepada pelanggan.
“Selalu kita tengok aksi ‘roti canai terbang’ di kedai mamak tapi saya tampilkan ‘air kelapa lambung’ kerana mahu memberi kelainan dan tampil unik berbanding penjual air kelapa yang lain.
“Gerai kami beroperasi di Melaka dan sebagai tempat tarikan pelancong, saya juga mahu mempromosikan kebudayaan dan sejarah orang Melayu kepada pelancong luar,” katanya ketika ditemui di MAHA 2018.
Shaiful berkata, beliau menyasar untuk menjual sebanyak 15,000 biji kelapa muda selain produk jeli kelapa dan ‘coconut shake’ sepanjang pameran tersebut berlangsung.
“Biasanya kami beroperasi di Jonker Walk dan lima lagi cawangan di Melaka, saya fikir MAHA juga boleh menjadi platform dalam memperkenalkan perniagaan kepada audiens yang lebih luas,” katanya yang bercadang melebarkan sayap perniagaan ke negeri lain.
Air kelapa lambung dijual pada harga RM5 itu turut mencuri perhatian kerana dihidangkan tanpa tempurung kelapa yang memerlukan kemahiran mengupas yang rumit.
MAHA 2018, ekspo pertanian terbesar Malaysia, berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula 22 Nov sehingga 2 Dis ini dengan tema Makanan Kita Masa Depan Kita. – BERNAMA











