PARIS 20 Nov. – Perancis terpaksa membayar dengan harga mahal untuk menewaskan Uruguay 1-0 dalam aksi persahabatan di Stade de France selepas ayam tambatan mereka Kylian Mbappe mengalami kecederaan bahu.
Penyerang berusia 19 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada babak pertama selepas terjatuh sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Thomas Tuchel berikutan seorang lagi penyerangnya, Neymar turut mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Brazil menentang Cameroon dalam aksi persahabatan di Milton Keynes.
PSG bakal melayan kunjungan Liverpool di Parc des Princes dalam kempen Liga Juara-Juara pada 28 November ini.
Ketika ditanya mengenai tahap kecederaan Mbappe, jurulatih Perancis, Didier Deschamps tidak dapat memastikannya.
“Tidak semestinya (serius) namun tidak perlu bimbang. Dia mengalami kesakitan di bahu selepas terjatuh dan akan diuji esok pagi namun tiada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya.
Selepas dikecewakan Belanda yang memintas mereka untuk mara ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah dengan jaringan lewat permainan Virgil van Dijk, Olivier Giroud menyempurnakan penalti pada minit ke-52 untuk memberi kemenangan kepada Perancis.
Menerima sokongan padu, Perancis hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat bagaimanapun rembatan Giroud gagal menemui sasaran bagaimanapun penyerang Chelsea itu mengesahkan kemenangan pasukannya selepas bola terkena tangan pertahanan Uruguay, Martin Cacares berpunca daripada rembatan Antoine Griezmann. – AFP










