UMAT Islam pasti berasa lega mendengar penjelasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan mustahil untuk melaksana Konvensyen Antarabangsa bagi Menghapus Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) di Malaysia. Hal ini disebabkan jika ICERD diratifikasi, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi mematuhi konvensyen tersebut. Malah jati diri negara juga akan dinodai dengan pelaksanaan ICERD itu.
Sebelum ini, kita diutarakan pelbagai helah hanya semata-mata untuk memberi justifikasi supaya pihak kerajaan menandatangani dan seterusnya meratifikasi ICERD.
Golongan ini berpandangan Artikel 1(4) membuka ruang kepada Malaysia untuk terus melaksanakan ‘affirmative actions’ seperti keistimewaan kepada bumiputera, kedudukan istimewa Islam dan raja-raja Melayu. Perlembagaan tidak perlu dipinda kerana Artikel 1(4) ini membenarkannya.
Saya tidak bersetuju dengan pandangan ini kerana jika kita lihat proviso Artikel 1(4) ada menjelaskan bahawa tindakan afirmatif boleh dilakukan dengan syarat “provided, however, that such measures do not, as a consequence, lead to the maintenance of separate rights for different racial groups and that they shall not be continued after the objectives for which they were taken have been achieved.”
(Mengikut proviso tersebut tindakan diskriminasi yang dilakukan mestilah tidak menjuruskan kepada hak berasingan kepada kumpulan kaum berbeza dan ia hanya boleh berterusan sehingga objektifnya telah tercapai).
BERCANGGAH
Kedua-dua syarat ini tidak diamalkan di Malaysia dan ia bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Di Malaysia orang Islam dan orang bukan Islam mempunyai undang-undang berbeza dalam beberapa aspek seperti undang-undang keluarga, pewarisan, kesalahan melanggar perintah agama Islam dan beberapa perkara lain. Malah hak keistimewaan bumiputera juga tidak ditetapkan tempohnya, walaupun Suruhanjaya Reid ada mencadangkan tempoh.
Hal ini tidak melayakkan Malaysia melaksanakan tindakan afirmatif seperti proviso Artikel 1(4) tersebut kerana syarat yang dikenakan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh kerana terdapat perbezaan pandangan ini, saya sarankan pihak yang mengatakan ia tidak menjejaskan Perlembagaan Persekutuan mendapatkan jaminan daripada 18 pakar yang ditubuhkan dalam Artikel 8. Sekiranya mereka memberi jaminan tersebut, barulah tuntas hujah mereka. Jangan hanya menafikan sahaja tetapi kesannya nanti tidak dapat dijangkakan.
Sekiranya tiada jaminan ini, negara berisiko dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana tidak mematuhi ICERD setelah diratifikasi. Hal ini sangat berat dan negara mungkin terdedah kepada pelbagai tekanan antarabangsa kerana gagal mematuhi ICERD.
KONSISTEN
Pada 2013, semasa Pusingan Kedua Semakan Berkala Sejagat Malaysia (UPR) yang mana Malaysia dinilai prestasi hak asasi manusianya, delegasi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menghadiri sesi tersebut di Geneva membantah antara lain desakan ke atas kerajaan untuk meratifikasi konvensyen antarabangsa termasuk ICERD.
Pada ketika itu, ramai ahli politik pembangkang dan kerajaan bersetuju dengan kami.
Pada 8 November lalu, Pusingan Ketiga UPR berjalan dan sekali lagi kami membantah ratifikasi tersebut walaupun tidak ke Geneva. Namun kali ini ada pula yang mendakwa bantahan ICERD itu disebabkan politik. Dulu dan kini kami bantah, kerajaan pun berbeza. ICERD bukan isu politik walaupun sesetengah ahli politik menggunakan platform politik bagi mengetengahkan isu ICERD ini.
Bagaimana pula ia dikatakan isu politik kerana ramai ahli politik dari blok kerajaan dan pembangkang sendiri telah menzahirkan bantahan terhadap ICERD. Isu ini merentasi kepentingan politik kepartian sebenarnya.
Bagi golongan yang mahu ICERD diratifikasi, pelbagai justifikasi dicari bagi menyokong pendirian mereka. Antaranya mendakwa frasa ketuanan Melayu tiada dalam Perlembagaan Persekutuan, yang ada hanyalah kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.
Oleh itu, tidak perlu diperbesar isu ketuanan Melayu ini. Saya setuju frasa tersebut tiada dalam Perlembagaan Persekutuan, namun kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain hendaklah diberi efek sepenuhnya bukan menafikannya.
Malah perkataan sekular pun tiada dalam Perlembagaan Persekutuan. Kenapa pula masih ramai yang kata Malaysia sebuah negara sekular. Yang ada adalah Islam agama bagi Persekutuan. Oleh itu, berilah efek sewajarnya juga kedudukan agama negara ini.
Ada yang mengatakan ICERD bukan mengenai agama tetapi kaum. Hujahan sebegini sangatlah dangkal kerana Artikel 5 ICERD sendiri ada menyatakan tentang agama. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan pula ‘membumikan’ agama Islam dalam diri seorang Melayu. Oleh itu, secara perundangannya orang Melayu tidak dapat dipisahkan daripada agama Islam.
KETUANAN MELAYU
Berbalik kepada isu ketuanan Melayu ini walaupun tidak dinyatakan secara khusus dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi bagi saya ketuanan Melayu itu bukanlah ditafsirkan dalam konteks tuan dan hamba kerana ia sangat bercanggah dengan kerangka sistem Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang mengharamkan perhambaan.
Ia seharusnya dihayati dalam konteks tuan dan tetamu. Seorang tetamu yang diundang sentiasa diraikan oleh tuan rumah, malah kadang-kadang diberikan layanan lebih istimewa berbanding dengan isi rumah lain. Namun sebagai tetamu, beliau tidaklah boleh melakukan apa sahaja sehingga mengganggu tuan rumah itu.
Ada adab yang perlu dijaga, ada had yang perlu dihormati dan ada permuafakatan yang perlu diraikan antara kedua-duanya. Malah ada pula dalam kalangan tetamu tersebut diterima menjadi menantu, membeli rumah tersebut atau dianggap sebagai keluarga tuan rumah. Semua ini hendaklah dilakukan dalam semangat persetujuan kedua-dua pihak, bukan dipaksa kepada mana-mana pihak.
Berbalik kepada isu ICERD, telah ramai yang menzahirkan bantahan terhadapnya. Kerajaan perlu akur dengan kemahuan masyarakat Islam arus perdana tidak mahukan ICERD diratifikasi. Perlembagaan Persekutuan sudah ada menjamin keadilan kepada semua kaum di Malaysia sama ada yang majoriti ataupun minoriti.










