KUALA LUMPUR 22 Nov. – Seorang juruukur tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian anak perempuan bongsunya di tempat letak kereta, Oktober lalu.
Mohd. Nazri Mohaizi, 34, didakwa sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas kanak-kanak yang berusia setahun enam bulan itu didapati telah melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta hadapan Night Vision Lasers System (M) Sdn. Bhd., No. 17, Jalan Jelatek 2, Jelatek Business Park, Kuala Lumpur, di sini antara pukul 9.30 pagi dan 5.30 petang, 17 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Ampang sebulan sekali dan pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.
Beliau turut menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










