Jin Wei hampiri puncak - Utusan Malaysia

Jin Wei hampiri puncak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Malaysia berpeluang cerah untuk merangkul dua gelaran juara remaja dunia dengan perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei semakin hampir untuk meraih kejuaraan terakhirnya dalam aksi final yang akan berlangsung di Markham, Kanada, hari ini.

Jin Wei yang pernah merangkul kejuaraan itu dalam edisi 2015 menunjukkan dia sema­kin matang berbanding pemain seusianya selain menampilkan permainan lebih meyakinkan untuk meraih kejuaraan kedua sebelum meneruskan saingan di peringkat senior.

Dalam aksi separuh akhir, awal pagi semalam, pemain berusia 18 tahun yang juga pilihan ketiga kejohanan tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pilihan utama dari China, Wang Zhiyi 21-9, 21-13 untuk berdepan Line Christophersen dari Denmark.

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng menzahirkan kegembiraannya dengan prestasi yang ditampilkan Jin Wei dan menyifatkan stan­dard permainannya jauh berbeza berbanding pemain remaja lain.

“Dia semakin matang dalam permainan, dia tahu waktu sesuai untuk menyerang bagi meraih mata.

“Dalam aksi separuh akhir itu, dia banyak bersabar dengan permainan Zhiyi membuatkan pemain China itu kerap melakukan kesilapan dan memberikan mata buat Jin Wei,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, pasangan beregu wanita Pearly Tan-Toh Ee Wei hanya tinggal selangkah untuk mencipta sejarah menjadi gandingan pertama menjuarai acara itu apabila berjaya ke aksi final dengan mengetepikan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto 21-19, 21-19 dan akan berdepan pilihan utama dari China, Liu Xuanxuan-Xia Yuting.

“Mereka tidak menunjukkan prestasi terbaik mereka dalam perlawanan ini tetapi saya harap mereka akan beraksi cemerlang dalam aksi final,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×