PASIR MAS – Jenazah datuk kepada pelakon dan pengacara popular, Neelofa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemal, di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Noor Mohamed Mohammad Din, 83, dikebumikan pada pukul 2.10 petang dengan lebih 100 ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk hadir memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham yang mesra dipanggil ‘Abah’ oleh keluarganya disembahyangkan di Masjid Pasir Mas selepas solat Zohor.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kita-kira pukul 11.20 malam tadi ketika dirawat akibat komplikasi penyakit kencing manis di Hospital KPJ Kota Bharu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, tujuh anak serta lebih 40 cucu.
Dalam pada itu, Neelofa yang kelihatan sugul berharap peminat dan semua pihak terus menyedekahkan Al-Fatihah selain mendoakan supaya arwah ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman.
“Terima kasih pada yang mendoakan abah sejak arwah jatuh sakit hinggalah meninggal dunia semalam. Segala urusan pengebumian berjalan lancar hari ini dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Turut kelihatan pelakon, Sharnaaz Ahmad yang merupakan abang ipar kepada Neelofa.- K! ONLINE










