KITA tidak boleh menolak hujan kerana hujan itu rahmat dan hujan diperlukan untuk kelangsungan hidup. Tetapi kita boleh mengurangkan risiko bencana akibat hujan. Itu kata-kata kawan saya yang saya masih ingat.
Kata-kata itu diucapkannya pada 2011 iaitu ketika berlaku bencana tanah runtuh di Hulu Langat. Kejadian yang mengorbankan 16 anak yatim berusia bawah 18 tahun itu menggemparkan negara.
Musim hujan yang tidak menentu seperti sekarang, kejadian tanah runtuh menghantui kita sekali lagi. Kejadian yang berlaku di Paya Terubong Pulau Pinang meragut banyak jiwa, tiga orang dapat diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang.
Tanah runtuh pernah berlaku di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 mengorbankan empat jiwa dan 15 yang lain cedera di samping 14 buah rumah banglo ranap dalam tragedi tersebut
Pada pertengahan Oktober lalu pula, dua wanita dan seorang lelaki warga Myanmar mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Terla, Cameron Highlands.
Kita sudah banyak pengalaman dalam soal tanah runtuh. Para petugas pun sudah banyak pengalaman kerana banyak sangat berlaku tanah runtuh di sana-sini terutamanya pada musim hujan.
Pada 2015, sebanyak 700 kes tanah runtuh dan kegagalan cerun dilaporkan sepanjang tahun tersebut yang majoritinya disebabkan oleh faktor hujan lebat luar biasa. Kebanyakan kes dilaporkan berlaku di koridor jalan persekutuan iaitu 410 kes manakala bakinya 290 kes di jalan negeri.
Biasanya apabila sudah berlaku sesuatu insiden, baharulah kita beringat dan berusaha untuk mengelak daripada kejadian itu berulang lagi. Malah, ayat-ayat yang klise digunakan sama ada dari segi pemantauan, kajian, usaha mengurangkan bencana dan sebagainya. Tidak kira dalam soal tanah runtuh, dalam soal kebakaran yang meragut nyawa, kemalangan jalan raya, mahupun insiden lemas, kita akan bercakap apabila sudah berlaku insiden yang meragut banyak jiwa.
Kita sudah lama tidak bercakap tentang kemalangan bas yang meragut banyak jiwa dan kebakaran asrama kerana kita seakan-akan sudah lupa akan insiden yang pernah berlaku. Selepas insiden-insiden itu berlaku dahulu, maka pelbagai pihak membuka mata dan memberi cadangan buat itu dan ini untuk mengelak kejadian itu berulang lagi.
Selama manakah pemantauan dilakukan ke atas perkara-perkara yang dicadangkan itu? Bagaimana pula tahap kesedaran orang ramai mengenai insiden-insiden tersebut agar tidak berulang? Dalam soal tanah runtuh, berapa ramai penghuni di lereng-lereng bukit menyedari akan bahaya kawasan tersebut terutamanya ketika hujan lebat berlaku? Dalam soal banjir kilat, berapa ramai yang sedar tentang pembuangan sampah secara tidak teratur sebagai penyebabnya?
Tegasnya, kalau semua pihak bekerjasama memikirkan risiko bencana, kesan bencana akan dapat dikurangkan. Oleh itu, dalam soal tanah runtuh, pemantauan ke atas aktiviti penebangan pokok, perancangan pembangunan di sesuatu tempat, keselamatan penduduk dan pekerja mesti diambil kira. Oleh itu, janganlah sampai orang berkata, sudah terhantuk baru tengadah.










