KUALA LUMPUR 20 Nov. – Skim FundMyHome, terus menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan masyarakat yang rata-ratanya masih bimbang tentang sejauh mana sistem itu dapat membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Selain itu, ada juga yang mempersoalkan mengenai keupayaan pembeli rumah pertama menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak 20 peratus dan implikasi yang perlu dihadapi mereka selepas lima tahun.
FundMyHome dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 4 November lalu dan diselaraskan oleh portal hartanah, EdgeProp.my yang menawarkan 1,000 unit kediaman pada fasa pertama berharga di bawah RM500,000.
Di bawah skim itu, sebagai permulaan pembeli tidak mempunyai pemilikan penuh terhadap hartanah tersebut dan hak mereka sebagai pemilik hanya termaktub apabila membelinya selepas tempoh lima tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital Sdn. Bhd., Faizul Ridzuan melahirkan kebimbangan skim itu akan menindas mereka yang kurang berkemampuan dan dalam masa berlaku lambakan stok rumah tidak laku oleh pemaju.
Ini kerana katanya, skim tersebut memerlukan 20 peratus deposit dan secara purata berdasarkan hartanah yang dipaparkan, pembeli perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM60,000 hingga RM80,000.
“Besar kemungkinan, pembeli ini bakal membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk membuat bayaran deposit sebanyak RM60,000 hingga RM80,000 ini. Usaha dan niat Kerajaan sudah betul, namun khuatir jika hasilnya berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menerusi konsep FundMyHome, pembeli rumah pertama perlu membayar 20 peratus daripada harga rumah dan bakinya akan disumbangkan menerusi institusi terlibat. Pembeli rumah mempunyai pilihan sama ada untuk menjual atau terus menghuni kediaman masing-masing selepas tempoh lima tahun.
Mereka yang memilih untuk terus mendiami kediaman boleh membiayai semula rumah menerusi FundMyHome.com atau menerusi pinjaman bank, yang ketika ini merangkumi Kumpulan Maybank dan CIMB.
Minggu lalu, Pengerusi The Edge Property Sdn. Bhd., Tong Kooi Ong berkata, tidak ada kumpulan pendapatan tertentu disasarkan tetapi konsepnya mudah, skim itu untuk pembeli yang mempunyai duit mencukupi atau mereka yang layak membuat pinjaman.
Dalam erti kata lain, FundMyHome hanya bersesuaian untuk mereka yang mempunyai wang yang banyak dan adakah dalam soal ini, isu perumahan dapat diselesaikan, atau hanya memberi kelebihan kepada pemaju untuk melepaskan unit-unit yang tidak terjual semata-mata?
Mengenai perkara ini, Faizul dalam kajian yang dibuat olehnya berdasarkan hartanah yang disenaraikan dalam FundMyHome mendapati ada hartanah telah siap dijual pada harga lebih mahal berbanding pasaran sekunder oleh pemaju.
“Sebagai contoh, Zeva di Equine ada beberapa unit di laman web iProperty yang dijual pada harga tidak sampai RM270,000. Namun di laman web FundMyHome, ia bermula dengan harga RM345,000.
“Dalam kes ini, rumah Zeva di FundMyHome ini dijual pada harga 20 peratus lebih mahal berbanding harga pasaran. Yang untung dalam kes ini adalah pemaju yang dapat menjual stok yang tidak terjual pada harga yang mereka mahu,” katanya.










