PELUMBA impian ke MotoGP, Izam Ikmal akan menggantikan Adam Norrodin pada perlumbaan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini.
Pasukan Petronas Sprinta Racing Team membuat keputusan untuk menggunakan pelumba pelapis mereka bagi perlumbaan kelas Moto3 memandangkan Adam sedang menjalani rawatan pembedahan lutut di Kuala Lumpur.
Sudah pasti ia adalah peluang terbaik buat Izam kerana selepas perlumbaan itu dia akan meneruskan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia (CEV) di litar yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada Izam, sebaliknya mahu pelumba pelapis itu mengutip pengalaman terbaik beraksi di pentas berprestij itu.
“Sudah pasti ia adalah pengalaman terbaik kepada Izam untuk mengutip pengalaman mengemudi jentera Moto3 dan persediaan terbaik menjelang perlumbaan terakhir CEV di Valencia pada 24 November ini.
“Bagi saya, adalah lebih baik mengambil risiko menggunakan pelumba pembangunan kita sendiri daripada pasukan negara lain,” kata Razlan semalam.
Dalam pada itu, Izam, 17, mengakui mahu menggunakan peluang itu sebaik mungkin pada perlumbaan sulungnya dalam perlumbaan Moto3 di Valencia nanti.
“Terima kasih kepada Datuk Razlan dan Zulfahmi yang memberi peluang kepada saya selain menjadikan impian menjadi realiti. Tidak lupa juga kepada pasukan Petronas Sprinta Racing.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk beraksi dalam perlumbaan kelas Moto3 ini dan ia adalah peluang terbaik untuk saya mempelajari tentang litar dan cabaran berlumba dengan pelumba Moto3 terbaik. Saya akan lakukan yang terbaik.
“Selain itu saya harap Adam cepat pulih daripada kecederaan,” ujar Izam.










