PARIS – Pertumbuhan pesat penduduk dan kelemahan infrastruktur mengakibatkan dua daripada tiga buah bandar di Afrika berdepan ‘risiko ekstrem’ berpunca daripada perubahan iklim dunia, demikian menurut analisis baharu yang disiarkan semalam.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati 86 daripada 100 bandar paling pesat membangun di dunia berada di Benua Afrika.
Penemuan mengenainya dibentangkan dalam Indeks Kerentanan Iklim 2018 yang merumuskan risiko keseluruhan yang dihadapi bandar-bandar berkenaan berpandukan lebih 50 data berasingan termasuk model komputer iklim terkini dan trend demografi.
Ia mendapati Bangui di Republik Afrika Tengah, Monrovia (Liberia) dan Mbuji-Mayi (Congo) merupakan tiga bandar paling berisiko terjejas akibat perubahan iklim. Lapan buah bandar di Benua Afrika turut berada dalam kedudukan 10 teratas indeks tersebut.
Indeks yang dikeluarkan oleh firma Britain, Verisk Maplecroft itu turut menasihati pelabur supaya berwaspada sekiranya ingin melabur di ibu kota Republik Demokratik Congo, Kinshasa.
Didiami kira-kira 13.2 juta penduduk, bandar itu kerap mengalami cuaca buruk seperti siklon dan banjir, bencana yang diramal mendatangkan gangguan lebih serius apabila populasinya melonjak kepada 26.7 juta orang menjelang tahun 2035.
“Bandar-bandar besar di Afrika berdepan isu seperti kekurangan air bersih, sanitasi dan perumahan,” kata beberapa penganalisis alam sekitar.
Analisis itu turut mendapati bahawa sebahagian daripada bandar berpenduduk paling ramai di dunia termasuk New Delhi, Mumbai, Bandar Raya Mexico dan Karachi berdepan risiko tinggi untuk ekonomi dan populasinya terjejas berikutan perubahan iklim. – AFP










