KUALA LUMPUR 26 Nov. – Mengikut sistem perundangan, mana-mana negara termasuk Malaysia boleh menangguhkan tindakan untuk meratifikasi konvensyen antarabangsa bagi tempoh tertentu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, ia dikecualikan bagi negara yang membuat keputusan untuk langsung tidak akan meratifikasikan konvensyen tersebut.
“Daripada segi perundangan, semua negara bukan Malaysia sahaja mungkin boleh tangguh (untuk) tahun tertentu, melainkan negara tersebut membuat keputusan langsung tidak (meratifikasi).
“Ia boleh begitu, tiada mana-mana halangan sebab keadaan mungkin akan berubah pada masa akan datang, kemungkinan Pas dan UMNO pula minta meratifikasi ICERD. Kita tidak tahu, sebab benda akan datang, kita tidak boleh spekulasi apa-apa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi ICERD.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan akhbar dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri tersebut didakwa tidak mengikut formaliti pentadbiran.
Hal demikian ini kerana perkara itu hanya boleh disahkan melalui tanda tangan Perdana Menteri sendiri yang kemudiannya membawa usul itu ke Parlimen agar dapat direkodkan dalam hansard rasmi. – UTUSAN ONLINE











