DIKATEGORIKAN antara bencana berganda terburuk dalam sejarah di Indonesia, kejadian gempa bumi dan tsunami melanda Palu dan Pulau Sulawesi yang mengorbankan lebih 2,000 penduduk pada September lalu terus mendapat perhatian dunia.
Tidak terkecuali, pelbagai pertubuhan termasuk kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) tampil bagi menghulurkan bantuan dalam usaha meringankan beban dihadapi mangsa dan golongan kurang bernasib baik tersebut.
Terbaharu, pertubuhan misi kemanusiaan, Islamic Aid Malaysia (IAM) menggerakkan bantuan ke Palu bagi meneruskan kesinambungan bantuan, di samping perhubungan persaudaraan serumpun dengan Malaysia.
Presidennya, Zawahir Abdullah berkata, walaupun bantuan di bawah program ‘Bantuan Bencana IAM’ lebih tertumpu kepada bencana dalam negara, namun melihat kesempitan dihadapi masyarakat serumpun di Palu membuatkan pihaknya untuk turut sama menghulur sumbangan.
“Walaupun lokasi misi ini jauh di pedalaman dan terdedah kepada risiko, namun demi misi kemanusiaan, usaha ini dapat dijayakan. Pihak kami juga amat bertuah kerana mendapat kerjasama daripada sukarelawan tempatan.
“Ini merupakan kunjungan kami yang kedua setelah bantuan pertama dilaksanakan di Kota Palu seawal kejadian bencana tersebut. Kesempatan berkunjung ke sana turut dimanfaatkan dengan aktiviti pembersihan kawasan kampung terjejas teruk akibat bencana tersebut,” katanya selaku ketua misi.
Seramai lima sukarelawan IAM terlibat secara langsung dalam program tersebut. Antara sumbangan dihulurkan adalah pek makanan dan barang keperluan asas mengandungi beras, gula, sardin, minyak masak, tepung, biskut serta barangan penjagaan diri bagi kegunaan mangsa di pusat pemindahan.
Zawahir berkata, sumbangan barangan tersebut diagihkan di dua lokasi iaitu di Desa Tanjung Padang dan Desa Tompe yang terletak di Kecamata Sirenja, Kabupaten Donggala.
“Untuk tiba ke Donggala mengambil masa lebih dua jam setengah perjalanan menaiki kereta. Rata-rata penerima manfaat bekerja sebagai nelayan dan melakukan kerja-kerja kampung. Pendapatan yang mereka peroleh tidak seberapa jika dibandingkan dengan tanggungan dan kos sara hidup di kawasan tersebut.
“Akibat daripada kejadian gempa, aktiviti mereka terbatas, mereka tidak dapat ke laut dan bertani kerana peralatan mereka untuk mencari rezeki telah musnah.
“Mereka bukan sahaja diraikan dengan sumbangan barangan tetapi juga turut diberikan sokongan moral dan psikologi. Rata-rata penerima manfaat ini boleh memahami bahasa Melayu dan memudahkan pihak kami untuk berinteraksi dengan mereka,” ujarnya.
Ibarat kiamat kecil
Berkongsi pengalaman dilalui, seorang mangsa Sharman, 43, berkata, bencana tsunami yang menimpa merupakan kisah paling menakutkan dalam hidupnya.
“Ketika itu saya berehat, tiba-tiba kedengaran bunyi bising dari luar rumah. Kedengaran suara orang berteriak berlakunya gempa. Saya terus panggil isteri dan anak-anak untuk keluar rumah. Kerana ketakutan, kami lari tanpa membawa barang-barang,” katanya.
Sharman yang tinggal di Desa Tanjung Padang, Kecamatan Sirenja Kabupaten Donggala berkata, dia menjadi cemas dan panik untuk menyelamatkan diri kerana rumahnya terletak berhampiran dengan kawasan pantai.
“Di luar rumah saya lihat semua orang berlari menyelamatkan diri, dilihat ketika itu air di pantai telah melimpah keluar, tanah beralun kuat dan bunyi luar biasa kedengaran.
“Ketakutan yang amat sangat, ketika itu anak-anak sudah mula menangis dan kami terpaksa berlari ke tempat selamat,” katanya yang telah dua bulan tinggal dalam khemah perlindungan sementara.
“Setiap hari kami hanya mampu melihat tapak rumah yang telah musnah. Baju yang saya pakai dan anak-anak adalah sumbangan orang ramai. Saya tidak tahu apa bakal terjadi selepas ini.
“Setiap hari saya berdoa agar keadaan bertambah baik. Tinggal di sini memang tidak selesa, kami terpaksa bersempit-sempit dan terpaksa bersabar dengan keadaan ini,” luahnya sayu.










