Hubbu Rasul imarah semangat cinta rasul - Utusan Malaysia

Hubbu Rasul imarah semangat cinta rasul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 20 November lalu, seluruh umat Islam meraikan hari memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW atau lebih dikenali sebagai sambutan Maulidur Rasul.

Seperti biasa setiap tahun umat Islam menyaksikan pelbagai acara dirangka bagi menyemai rasa cinta terhadap Nabi Muhammad SAW selain mengingati sejarah perjuangan baginda. Antaranya ceramah agama, alunan selawat dan salam serta konsert yang bersifat ketuhanan.

Justeru, bagi merancakkan lagi sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bakal menganjurkan sebuah konsert khas berjudul Hubbu Rasul.

Presiden Seniman, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata, program berkenaan sengaja dianjurkan bertujuan memperingati hari keputeraan Rasulullah.

“Saya bersyukur kerana penganjuran program ini dipermudahkan apabila pihak DBKL sudi bekerjasama dengan Seniman. Jika sebelum ini, konsert diadakan secara terbuka, namun kali ini ia dibuat secara tertutup.

“Saya harap penganjuran Konsert Hubbu Rasul akan menjadi aktiviti tahunan, selain dapat diingati oleh semua penonton yang hadir khususnya penduduk sekitar Kuala Lumpur,” katanya ketika sidang akhbar konsert berkenaan di Biro Pelancongan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Konsert Hubbu Rasul yang dijadualkan berlangsung pada 24 November ini akan diadakan di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut bermula pukul 8.30 malam.

Konsert istimewa berkenaan akan dikendalikan oleh Imam Muda Nazrul. Sebanyak 15 buah lagu bakal disampaikan oleh barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Raihan, Aris Ariwatan, Mawi, Rabbani, Daly Filsuf dan Raqib Majid.

Bukan sebuah persembahan biasa, lebih menarik lagu-lagu kerohanian yang mengandungi kata-kata nasihat, kisah para nabi dan memuji kebesaran Ilahi bakal diiringi oleh kumpulan Orkestra Kuala Lumpur dan artis budaya DBKL.

Dalam pada itu, pelantun lagu Permaidani, Aris Ariwatan memberitahu bakal menyanyikan tiga buah lagu termasuk Jangan Menangis Habibah.

Perjuangan

Kongsi pemilik nama penuh Harris Fadzillah Daud yang popular sekitar era 1990-an itu, lagu berkenaan sangat bermakna kerana dicipta untuk Allahyarham kakaknya Habibah Daud yang bertarung dengan tujuh penyakit barah dua tahun lalu.

“Sudah lama saya tidak terlibat dengan persembahan seperti ini. Kesempatan ini saya ambil untuk mendendangkan lagu Jangan Menangis Habibah.

“Lagu tersebut dicipta ketika saya menjaga kakak yang bertarung dengan penyakit kanser. Dua tahun juga Allahyarham bertarung dengan penyakit kanser. Ia bermula dengan kanser rahim kemudian merebak sehingga doktor sahkan kakak menghidap tujuh penyakit kanser yang lain

“Bait-bait lagu tersebut mengisahkan perjuangan seseorang dalam hidup bukan tentang kanser semata-mata. Saya harap peminat terhibur dengan persembahan saya pada malam itu nanti,” katanya yang kali terakhir membuat persembahan berskala besar pada Konsert Gegar 5 Lagenda di Istana Budaya, Kuala Lumpur sekitar dua tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN