PORT DICKSON 26 Nov. – Bekalan air bersih yang terputus di daerah ini sejak empat hari lalu bukan sahaja membebankan penduduk malah memberi kesan kepada para pengusaha hotel sekitar bandar pelancongan ini.
Menurut Pengerusi Persatuan Hotel Negeri Sembilan, Haziz Hassan, masalah itu menyebabkan pengusaha hotel terpaksa menyewa lori tangki untuk mengangkut bekalan air bersih yang dibekalkan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) bagi kegunaan pengunjung hotel.
“Sains beri air secara percuma tetapi yang menjadi masalah adalah bayaran sewa tangki air tiba-tiba semakin meningkat. Kalau pada hari pertama tiada air sewanya RM1,200 sehari kini mencecah RM3,000 sehari.
“Kebanyakan hotel memerlukan kira-kira 10 tangki sehari, bayangkan RM30,000 terpaksa dikeluarkan sehari untuk menyewa kemudahan itu dan ia jumlah yang sangat besar terutama pada musim cuti sekolah ketika ini,” katanya.
Ribuan penduduk di daerah ini dihimpit kesulitan mendapatkan bekalan air bersih akibat kejadian tebing runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi dekat sini sejak 22 November lalu. Masalah sama turut menjejaskan penduduk di beberapa kawasan di Seremban dan Rembau.
Haziz berkata, masalah bekalan air lebih dirasai oleh pengusaha hotel bajet yang terpaksa menanggung kos tambahanyang tinggi sedangkan mereka tidak mempunyai bilik yang banyak.
Beliau turut meminta pihak yang bertanggungjawab supaya menyelesaikan segera isu tersebut kerana sektor perhotelan penting kepada negeri ini.
“Ramai pelancong luar datang bercuti di Port Dickson dan kita tidak mahu isu air ini mencemarkan imej sektor pelancongan negara,” katanya.










