Helang Merah bawa masuk dua pemain import baharu - Utusan Malaysia

Helang Merah bawa masuk dua pemain import baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan dua pemain import baharu kuota Asia dan ASEAN yang akan menyarung jersi skuad Helang Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia tahun depan.

Naib Presidennya, Anas Hafiz Mustafa berkata, dua pemain yang sah bersama mereka itu ialah Muhammad Shakir Hamzah, 26, dari Singapura serta Anmar Fares Abdul Jabar Almubaraki, 27, dari Basra, Iraq.

“Muhammad Shakir sebelum ini bermain di posisi pertahanan pasukan Home United FC, Singapura manakala Anmar Fares merupakan pemain tengah pasukan Army United FC, Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya juga telah mengenal pasti tiga lagi pemain import kuota antarabangsa yang akan memperkuatkan lagi skuad iaitu dua pemain dari Brazil dan seorang dari Sepanyol.

“Dua pemain iaitu pertahanan dari Brazil dan penyerang dari Sepanyol telah sah dan bersetuju untuk bersama Kedah FA, bagaimanapun identiti pemain buat masa ini belum dapat didedahkan kerana mereka masih bermain dengan kelab asal.

“Seorang lagi pemain iaitu penyerang dari Brazil kini dalam fasa akhir pengesahan dan beliau juga masih mempunyai perlawanan dengan kelab asal mereka,” ujarnya.

KFA sebelum ini mengumumkan untuk tidak memperbaharui kontrak lima pemain import lama iaitu Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Paulo Rangel, Alvaro Silva dan Andik Vermansah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN