Hasnul tetap letak jawatan Presiden Pafa - Utusan Malaysia

Hasnul tetap letak jawatan Presiden Pafa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 22 Nov. – Hasnul Zulkarnain Munaim menolak permintaan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang meminta beliau mempertimbangkan semula peletakan jawatannya sebagai Presiden Pafa.

HASNUL
HASNUL ZULKARNAIN

Menurut Hasnul Zulkarnain, beliau tetap dengan keputusannya meletakan jawatan yang dibuatnya pada 8 November lalu dan telah memaklumkan perkara itu secara lisan kepada Pafa pada Selasa lalu.

Katanya, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Pafa dalam tempoh terdekat.

“Saya tetap dengan keputusan (meletak jawatan) sebelum ini. Tiada dolak dalik. Setelah fikir dan nasihat daripada Menteri Besar yang menyatakan tidak mahu isu politik dalam persatuan.

“Saya dapat tekanan daripada netizen dan saya ambil keputusan ini (meletak jawatan) demi kepentingan Pafa dan pembangunan bola supaya terus maju tanpa ada isu-isu yang barang kali kalau saya kembali semula, akan timbulkan isu lama yang menyebabkan fokus jawatankuasa Pafa terganggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Ketua Kampung yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di sini hari ini.

Sebelum ini para penyokong mendesak Hasnul Zulkarnain meletak jawatan ekoran perbuatannya bergambar dengan trofi Piala Malaysia dalam keadaan tidak sepatutnya yang tersebar dan menjadi viral di media sosial.

Mengenai cadangan supaya Menteri Besar menerajui Pafa, Hasnul Zulkarnain mengulas, Ahmad Faizal merupakan antara calon yang sesuai atau mana-mana exco juga bekas Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

“Siapa yang layak menerajui Pafa, itu saya tak berani nak cakap tapi ia mestilah orang yang lebih hebat dan berpengaruh.

“Saya serahkan kepada pimpinan Pafa dan Menteri Besar dan saya harap polemik ini diselesaikan dengan segera kerana saingan liga akan bermula bulan Januari, jadi persiapan perlu diperkemaskan,” katanya.

Hasnul Zulkarnain mengakui sedih kerana terpaksa melepaskan jawatan namun ia adalah keputusan terbaik dan bersedia jika dilantik dalam mana-mana jawatankuasa Pafa.

“Saya minta maaf kepada penyokong yang memberi sokongan kepada saya, saya amat terharu dan kepada yang mengecam saya, saya maafkan mereka, mereka berbuat demikian kerana tak kenal saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN