Guru besar perlu amanah dalam urusan bantuan pendidikan - Utusan Malaysia

Guru besar perlu amanah dalam urusan bantuan pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan hanya akan memilih guru besar dalam kalangan mereka yang berintegriti dan amanah ke arah memastikan  semua bantuan pendidikan yang disalurkan kepada murid termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) diurus dengan baik.

Menteri berkenaan, Maszlee Malik berkata, ia bagi memastikan mereka yang menyandang jawatan itu melaksanakan tugas dengan baik termasuk dalam soal mengendalikan bantuan berkenaan.

Beliau berkata, proses pemantauan juga diwujudkan untuk dilaksana Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan sekolah patuh kepada Surat Pekeliling Kewangan dan Buku Panduan Pengurusan RMT yang disediakan kementerian.

Katanya, bakal-bakal pentadbir sekolah juga diberi pendedahan awal di Institut Aminuddin Baki dalam kursus Program Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (NQPEL) berkaitan pengurusan program RMT.

“Ini bagi memastikan latihan yang cukup dan terlatih untuk menguruskan RMT,” katanya menjawab soalan  Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat tentang langkah kerajaan dalam memastikan dana RMT kepada sekolah diurus dengan kaedah urus tadbir kewangan yang baik.

Menjawab soalan tambahan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai pendirian kementerian dalam soal makanan tidak berkualiti disediakan pengendali makanan di bawah kemudahan RMT,

Maszlee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara berkenaan.

“Kita akan lihat kes satu persatu yang mana pengendali makanan di bawah RMT yang tidak menjaga kualiti akan dikenakan amaran dan jika berulang tindakan tegas akan dilaksanakan,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN