Golongan belia paling ramai ditahan kerana rasuah - Utusan Malaysia

Golongan belia paling ramai ditahan kerana rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Sebanyak 55.2 peratus daripada jumlah tangkapan dari 2013 hingga Mei 2018 yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara  melibatkan golongan belia yang berumur bawah 45 tahun.

Pengarah SPRM Kelantan Ramli Ismail berkata, jumlah tangkapan itu disifatkan agak membimbangkan kerana ia melibatkan golongan belia yang bakal menjadi peneraju negara pada masa depan.

“Pada tahun 2002, satu Kajian Persepsi Rasuah di Malaysia yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melibatkan seramai 494 responden pelajar mencatatkan seramai 69.2 peratus bersetuju untuk menerima rasuah atau memberi rasuah, 30.5 peratus sanggup menerima rasuah jika ada kuasa, 23.7 peratus sanggup untuk memberi rasuah untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan dan 15 peratus  lagi sanggup memberi rasuah untuk melicinkan sesuatu masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir Sambutan Hari Integriti Universiti Malaysia Kelantan dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Naib Cancelor UMK Prof Datuk Dr Husaini Omar dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik (amp) Antarabangsa) Prof Dr Mohd Rafi Yaacob.

Ramli berkata, senario masa kini selepas 16 tahun kajian tersebut dijalankan seolah-olah kajian yang dijalankan itu menjadi kenyataan kerana lebih separuh daripada tangkapan rasuah SRPM kini melibatkan golongan belia.

“Kita mahu pihak universiti menekankan modul-modul pengajian yang melibatkan integriti agar pendedahan mengenai rasuah ini dapat diterapkan kepada pelajar supaya kes rasuah melibatkan golongan belia ini tidak menjadi semakin parah.

“Sekurang-kurangnya dengan ada pendedahan secara berterusan bagi merangka kesedaran dalam golongan pelajar diperingkat universiti mengenai rasuah, saya percaya kes rasuah golongan belia ini akan berkurang,” katanya.

Pada majlis itu seramai 23 kakitangan UMK menandatangani Ikrar Bebas Rasuah. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN