Gerakan ingatkan DAP keangkuhan boleh bawa kejatuhan - Utusan Malaysia

Gerakan ingatkan DAP keangkuhan boleh bawa kejatuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 21 Nov. – Parti Gerakan negeri mengingatkan DAP yang mana keangkuhan pemimpin mereka boleh membawa kepada kekalahan suatu hari nanti.

OH TONG KEONG
OH TONG KEONG 

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, pemimpin DAP mungkin terlalu gembira dengan kejayaan besar mereka merampas Kerajaan Persekutuan sehingga membuat kenyataan kononnya pembangkang di negeri ini tidak lagi membawa ancaman kepada parti tersebut.

Namun, ujar beliau, banyak kemungkinan boleh berlaku dalam politik dan pembangkang di negeri ini hari ini mungkin boleh menjadi pihak yang berkuasa dan begitu juga sebaliknya suatu hari nanti.

“Bagi Gerakan, meskipun kita tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, namun kita akan terus memainkan peranan memantau polisi yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sebuah negara yang demokrasi mesti mempunyai parti pembangkang yang kuat untuk memantau kerajaan demi memastikan negara kita diperintah dengan baik,” katanya kepada pemberita di sini.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan DAP serta Kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menunaikan janji-janji dibuat kepada rakyat sehingga membolehkan mereka merampas Kerajaan Pusat.

Ujarnya, banyak janji yang dibuat PH semasa pilihan raya umum lalu masih belum ditunaikan termasuk pengiktirafan sijil peperiksaan sekolah persendirian (UEC) dan pemansuhan bayaran tol (termasuk kedua-dua Jambatan Pulau Pinang).

“Di Pulau Pinang sendiri selepas lebih 10 tahun memerintah, masih banyak isu yang belum diselesaikan oleh DAP seperti isu tanah runtuh serta banjir dan mereka perlu menjelaskan perkara ini kepada penduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN