Gerakan guling MB hanya desas-desus - Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

Gerakan guling MB hanya desas-desus – Ahmad Faizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 28 Nov. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menganggap gerakan menjatuhkannya yang didakwa digerakkan oleh exco kerajaan negeri, 
hanya merupakan desas-desus dan bukan suatu perkara konkrit dan benar-benar akan berlaku.

Ahmad Faizal yang bagaimanapun tidak menafikan dakwaan itu berkata, walaupun ia benar sekali pun, ia boleh dihentikan kerana menganggapnya sebagai tidak penting, justeru mengharapkan polemik politik dapat dihentikan secara total.

Lebih-lebih lagi, beliau mengakui hubungannya bersama 10 exco kerajaan negeri disifatkan begitu baik ibarat satu keluarga besar yang bahagia sekali gus menekankan fokus kerajaan dalam membangunkan negeri serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Selagi perkara itu tidak berlaku, saya fikir tidak perlulah saya komen. Cerita-cerita kononnya ada rundingan, perjumpaan dan sebagainya, bermakna, segala perjumpaan itu tidak menjadi, jadi, kenapa perlu komen untuk sesuatu yang perkara yang tidak menjadi. 

“Saya tidak boleh melihat siapa (exco yang dikatakan ingin menggulingkannya) kerana kami merupakan satu keluarga besar yang bahagia. Kami kukuh sebaai kerajaan, kalau pun dalam hati tidak bersetuju dengan saya tetapi itu tidak ditonjolkan dalam bentuk tindakan dalam usaha memberi perkhidmatan kepada rakyat, jadi saya tidak kisah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di luar Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, beliau juga berpuas hati dengan komitmen serta kerjasama kesemua exco kerajaan negeri, malah sentiasa membenarkan mereka untuk mengutarakan pandangan sebelum membuat sebarang keputusan yang menepati kehendak rakyat.

Malahan katanya, pihaknya juga tidak pernah meninggalkan penganjuran mesyuarat exco kerajaan negeri seperti didakwa sesetengah pihak melainkan sewaktu cuti hari raya.

“Setiap rakyat berhak membuat laporan polis (berhubung gerakan menggulingkan Menteri Besar) dan pihak polis juga wajib menyiasat jika ada laporan, jadi saya serahkan pada mereka, terpulang pada pihak masing-masing.

“Bukanlah bila ada usaha untuk menggulingkan saya, tiba-tiba mereka (exco) tidak datang mesyuarat, jadi tidak melihat perkara itu. Namun, kalau saya nampak perkara itu, saya perlu ambil satu tindakan yang boleh memperkukuh kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN