KEHANGATAN konsert akhir Gegar Vaganza musim kelima pada Ahad lalu turut dipanaskan dengan pengumuman mengejutkan ahli kumpulan Forteen, Izzue Islam yang secara rasmi mengundur diri daripada kumpulan tersebut.
Tidak sekadar peminat, malah tiga lagi anggota kumpulan itu iaitu One, Ameer dan Ariz turut tidak menjangka yang tahun ini adalah tahun terakhir Forteen dengan Izzue selepas tujuh tahun membina nama bersama-sama.
Forteen ditubuhkan pada 2011 dan pernah bernaung di bawah KRU Music serta popular menerusi lagu-lagu antaranya Berdua Bersatu, Kita dan Dekat Tapi Jauh.
Malah Izzue sebelum ini pernah menghasilkan lagu solo berjudul Bimbang dan Sahabat selain aktif dalam dunia lakonan.
Saya dipulaukan – Izzue
Menjelaskan punca dia mengambil keputusan mengejut itu, Izzue Islam mengakui, dia terasa dipulaukan oleh One, Ameer dan Ariz. Ini membuatkan dia yakin kehadirannya dalam kumpulan itu tidak lagi diperlukan.
“Memang keputusan ini dibuat secara mengejut, malah saya tidak melihat akan adanya kerjasama antara saya dan Forteen buat masa ini selepas dipulaukan oleh mereka.
“Saya anggap penarikan diri saya daripada kumpulan ini sebagai tiada persefahaman selain yakin mereka lebih selesa untuk bertiga sahaja,” kata Izzue.
Tegas dengan keputusannya, Izzue bagaimanapun tidak dapat menafikan perasaan sedih apabila tidak lagi menjadi sebahagian daripada anggota Forteen apatah lagi selepas tujuh tahun membina nama bersama-sama.
“Sedih memang sedih… saya tidak mahu menipu perasaan saya dalam soal ini. Tetapi memandangkan kami tidak mampu lagi untuk bekerjasama, maka saya rasakan ini adalah satu keputusan yang terbaik.
“Saya akan meneruskan aktiviti seni seperti biasa cuma bezanya kini saya bukan lagi anggota Forteen,” katanya.
Menafikan persembahannya dalam program realiti Gegar Vaganza baru-baru ini menjadi punca persengketaan, Izzue menjelaskan, perkara itu tidak sepatutnya menjadi alasan kerana anggota Forteen yang lain tahu tahap kemampuan vokalnya.
“Selepas tujuh tahun bersama-sama mengadakan persembahan, mereka tentu sudah tahu tentang kemampuan saya,” katanya.
Tambah Izzue: “Soal akan bekerjasama pada masa hadapan rasanya tidak ada masalah, namun untuk kembali kepada Forteen dalam waktu terdekat ini memang tidak akan berlaku.”
Kami terkilan – One
MEGA Hits turut mendapatkan komen Forteen dan mewakili kumpulannya, kata One atau Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 28, mereka terkejut dan terkilan dengan pengumuman yang dilakukan secara mengejut oleh Izzue itu.
Malah kata One, sepatutnya keputusan seperti itu tidak perlu dikongsi kepada umum sebelum berbincang dengan ahli-ahli kumpulan terlebih dahulu.
“Terkilan tetapi pada masa sama kami bertiga terima dan menghormati keputusan yang diambil oleh Izzue. Secara jujurnya (memang) kami agak terkejut dengan keputusan yang diambil.
“Sepanjang tujuh tahun sudah banyak yang dilalui bersama-sama dan memang kami tidak sangka perkara ini yang akan berlaku. Di mana perginya semangat kekeluargaan itu?” katanya.
Mengakui ada konflik yang timbul antara mereka, namun bagi One, selepas bersama-sama mengemudi kumpulan itu tanpa lelah adalah tidak masuk akal untuk Izzue merajuk kepada perkara-perkara yang dianggap kecil.
“Memang ada masalah, tetapi ini bukan kali pertama kami menghadapinya malah sepanjang tujuh tahun bersama-sama, pasti ada pasang surut cuma kami tidak sangka dia akan merajuk sebegini sekali.
“Cuma kalau benar pun tidak mahu lagi bersama-sama kumpulan ini adalah lebih manis untuk dia berkongsi secara hati ke hati terlebih dahulu dengan kami sebelum berkongsi dengan seluruh rakyat Malaysia,” kata One.
Melihat masa depan Forteen, One tidak mahu menjadikan keadaan ini sebagai sebab untuk mereka membantutkan perancangan rapi yang sudah dibuat untuk memastikan kumpulan itu terus relevan dalam industri.
Apatah lagi mereka kini sudah kembali aktif sejak pembabitan dalam program Gegar Vaganza musim kelima yang baru sahaja berakhir Ahad lalu.
“Kami sebenarnya sudah merakamkan sebuah lagu baharu. Dengan penarikan diri Izzue, maka kami terpaksa merakamkan semula lagu itu sebab rakaman sebelum ini turut membabitkan Izzue.
“Selain itu, juga kami akan bergerak seperti biasa. Untuk mencari anggota baharu buat masa ini memang tidak terfikir lagi. Rasanya kami masih selesa untuk bertiga sahaja,” jelasnya.










