England makin matang - Utusan Malaysia

England makin matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 19 Nov – Gareth Southgate memuji skuad mudanya yang dianggap semakin matang dan menunjukkan ketahanan tinggi dalam perlawanan kompetitif antarabangsa dengan bukti terbaharu ketika England menewaskan Croatia 2-1 dalam aksi Kumpulan 4 Liga A Eropah di Wembley, semalam.

Walaupun ketinggalan 0-1 hasil jaringan Andrej Kramaric (minit ke-57), Three Lions bekerja keras untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi Jesse Lingard (minit ke-78) sebelum Harry Kane menjaringkan gol kemenangan dramatik di hujung aksi (minit ke-85).

Keputusan tersebut membolehkan England mengesahkan tiket ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah dan lebih manis kemenangan itu berjaya membalas dendam kekalahan ke atas Croatia pada separuh akhir Piala Dunia 2018 di Rusia.

“Saya amat berbangga. Kami membesar bersama dengan meningkat lagi selangkah ke hadapan. Ini satu lagi detik besar. Biarpun banyak tekanan dihadapi dalam perlawanan itu, kami berjaya menyerapnya dengan baik.

“Ini satu lonjakan penting untuk kami,” katanya yang menyaksikan England muncul juara kumpulan yang turut dianggotai Sepanyol dan Croatia.

Turut mengiringi skuad bimbingan Southgate itu ke separuh akhir ialah Portugal, Switzerland dan kemungkinan besar Belanda. Terdapat empat kumpulan dalam Liga A Eropah dengan juara setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang akan berlangsung pada Jun tahun depan.

Pasukan tangga kedua kumpulan pula kekal dalam Liga A, manakala pasukan tercorot kumpulan seperti Croatia misalnya akan diturunkan pangkat untuk beraksi dalam Liga B tahun depan.

Setakat ini, Kumpulan 1 dianggotai Belanda, Perancis dan Sepanyol yang masih ada satu lagi perlawanan untuk dilangsungkan, Kumpulan 2 pula sudahpun diungguli Switzerland sebagai juara kumpulan diikuti Belgium serta Iceland.

Kumpulan 3 dianggotai Portugal, Poland dan Itali yang juga belum muktamad kerana ada satu lagi aksi terakhir, manakala Kumpulan 4 sudahpun diungguli England. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×