PULAU PINANG 21 Nov. – Pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak menggubal Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan buat masa ini disifatkan bertentangan dengan usaha memartabatkan kedudukan agama dan umat Islam di negeri ini.
Sambil melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu, aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, pendirian tersebut juga membelakangi pandangan serta nasihat mufti yang lebih arif dalam hal ehwal Islam.
Menurut beliau, pendirian itu memperlihatkan seolah-olah peranan mufti dalam memberi cadangan berkenaan kepentingan Islam hanya bernilai di atas kertas semata-mata dan dengan mudah dicantas oleh perkiraan politik.
“Alasan kononnya tidak ada keperluan untuk menggubal Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan itu akan dilihat sebagai tindakan `lembut’ atau sekadar `melepaskan batuk ditangga’ dalam soal hal ehwal Islam.
“Ini kerana tiada jaminan tegas daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mana umat Islam akan bebas daripada usaha dijadikan mangsa dalam elemen penyebaran agama Kristian di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman menjelaskan tidak ada keperluan setakat ini untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggubal Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang cuba menyebarkan agama lain kepada umat Islam.
Sementara itu, Rahmad menambah, kira-kira 650,000 umat Islam di negeri ini ketika ini memerlukan pendirian tegas dan jaminan dari sudut perundangan dalam memastikan tiada usaha pengembangan agama lain dalam kalangan umat Islam.
Jaminan itu, ujar beliau, sangat mendesak ketika ini apatah lagi terdapat cubaan pihak tertentu menyebar agama Kristian menerusi pengedaran Bible seperti yang dilaporkan di negeri ini baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE











