KLANG – Tindakan enam krew warga Indonesia menjual minyak sebanyak 12.7 tan metrik dengan melakukan pemindahan secara haram daripada sebuah kapal pengangkut kepada kapal lain membawa padah selepas diberkas dalam kejadian di Pulau Ketam petang semalam.
Kesemua suspek berusia 30 hingga 50 tahun itu ditahan pukul 7.50 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian tersebut disedari oleh penyelia kapal berkenaan yang mengesyaki pengurangan minyak dari kapal pengangkut tersebut.
Katanya, berdasarkan siasatan didapati terdapat pengurangan minyak sebanyak 12.7 tan metrik dengan melibatkan kerugian berjumlah RM30,0000.
“Hasil siasatan, kita telah menahan empat krew kapal pengangkut tersebut di atas kapal berkenaan yang dipercayai melakukan pecah amanah dengan memindahkan minyak tanpa pengetahuan syarikat.
“Kita turut merampas empat keping kertas mengandungi jumlah jualan minyak, tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM4,000 dan pasport milik suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menambah, hasil siasatan turut mendapati kesemua suspek telah bekerja dengan syarikat kapal pengangkut tersebut hampir sembilan bulan.
Jelas Shamsul, kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











