NURAINA HANIS ABD. HALIM
KUALA LUMPUR 28 Nov.- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan empat daripada sembilan individu berhubung kenyataan yang menimbulkan isu perkauman dan sensitiviti agama.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, empat individu itu termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah dirakam percakapan.
“Mereka telah diambil keterangan oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung isu tersebut,” katanya kepada pemberita di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada P. Waytha Moorty telah hadir ke Bukit Aman, Mohamad Fuzi memaklumkan pihaknya belum mengambil keterangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan) itu.
Jumaat lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mendedahkan sembilan individu termasuk Waytha dan Ahmad Zahid akan dipanggil PDRM bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang menyentuh sentimen perkauman dan sentiviti keagamaan.
Turut dipanggil adalah Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah; Pengerusi Gabungan 3, Ravinder Singh dan timbalannya, Amran Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong; ADUN Tras, Chow Yu Hui, Lau Shan Thean dan Edi Rejang.- UTUSAN ONLINE









