SINGAPURA 19 Nov. – Ekonomi internet Asia Tenggara dijangka melebihi AS$240 bilion (RM1 trilion) pada 2025 berikutan lebih ramai pengguna menggunakan telefon pintar dan perkhidmatan dalam talian.
Unjuran itu berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Google dan Temasek Holdings yang diterbitkan pertama kali pada 2016 merangkumi e-hailing, e-dagang, percutian dalam talian dan media dalam talian.
Menurut Google-Temasek, hasil kajian kali ini meliputi sektor baharu seperti penghantaran makanan dalam talian, langganan muzik dan video atas permintaan.
Katanya, nilai dagangan kasar (GMV) ekonomi internet di rantau ini telah mencapai AS$72 bilion (RM301.72 bilion) pada 2018, meningkat 37 peratus dari 2017.
“Pertumbuhan ini didorong oleh pengguna internet yang aktif menerusi lebih daripada 90 peratus pengguna telefon pintar.
“Peningkatan telefon pintar mampu milik dan pelancaran perkhidmatan telekomunikasi mudah alih yang lebih cepat dan lebih dipercayai telah menyokong pangkalan pengguna internet Asia Tenggara yang semakin berkembang,” katanya dalam laporan di sini hari ini.
Kajian Google-Temasek meliputi enam ekonomi terbesar Asia Tenggara iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
GMV e-dagang di rantau ini diunjur melepasi paras AS$23 bilion (RM96.38 bilion) pada 2018 dan meningkat empat kali ganda melebihi AS$100 bilion (RM419.05 bilion) pada 2025 dibantu oleh peningkatan kepercayaan pengguna.
Google-Temasek mengiktiraf usaha syarikat e-dagang termasuk Lazada, Shopee dan Tokopedia antara yang banyak membantu membangunkan sektor itu.
“Selain itu, GMV bagi sektor e-hailing yang semakin kompetitif dengan tambahan perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian dianggarkan mencecah AS$7.7 bilion (RM32.27 bilion) pada 2018.
“Dengan penggunaan Go-Jek dan Grab yang dilihat menjadi ‘aplikasi harian’ Asia Tenggara, kami mengunjurkan ia boleh mencecah AS$30 bilion (RM125.72 bilion) pada 2025,” katanya. – REUTERS











