JOHOR BAHRU 13 Nov. – Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak mereka sedang meniti usia dewasa terlantar menderita selepas disahkan menghidap empat jenis kanser, iaitu hidung, hati, paru-paru dan selaput otak pada tahap empat.
Harapan Zulkifly Mohamed, 54, hanya mahu melihat anaknya, Mohamad Fadizrul Azraain Billah, 23, kembali ceria dan bertenaga seperti sediakala selepas anaknya itu yang mesra dipanggil Angah disahkan menghidap kanser hidung tahap dua pada Mac tahun lalu dan kini ibarat tinggal tulang apabila berat badannya susut drastik menjadi 30 kilogram (kg) berbanding 70 kg suatu ketika dahulu.
“Pada awalnya Angah mengalami pendarahan hidung, namun kami tidak mengesyaki apa-apa dan hanya berubat cara kampung. Setelah gejala itu kerap berulang, saya mula rasa tidak sedap hati dan menghantarnya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menjalani pemeriksaan.
“Selepas menjalani x-ray, doktor mengesan terdapat kuman kanser pada bahagian pangkal hidung Angah. Setelah dipecahkan ketumbuhan dan menjalani beberapa sesi kemoterapi dan radioterapi, akhirnya menampakkan perubahan dan keadaannya semakin pulih dan boleh bekerja seperti biasa, namun hanya bertahan hingga Julai lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurutnya, dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas itu, anak kedua daripada enam beradik itu sering mengadu mengalami sakit kepala dan hidung berdarah berulang ketika sedang bekerja dan terpaksa dirujuk ke bahagian kecemasan HSI untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, selepas seminggu membuat saringan kesihatan, doktor mengesahkan kuman kanser sudah merebak ke paru-paru, hati dan selaput otak yang berada pada tahap empat pada 14 Oktober lalu.
“Dua hari lalu, dia sepatutnya menjalani kemoterapi tetapi terpaksa ditangguhkan kerana keadaannya yang masih lemah setelah mengalami tekanan darah rendah dan perlu dimasukkan darah.










