WASHINGTON 7 Nov. – Dua lagi wanita Islam dilantik untuk menduduki kerusi Kongres buat pertama kali dalam sejarah apabila Parti Demokrat Amerika Syarikat (AS) berjaya menguasai Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pertengahan penggal, memberi tamparan hebat kepada Presiden Donald Trump.
Parti Republikan bagaimanapun mengekalkan cengkamannya terhadap Dewan Senat dalam pungutan suara yang menyaksikan berlaku kempen memecah-belah mengaitkan isu perkauman, imigresen dan kebudayaan.
Berikutan kejayaan Parti Demokrat menguasai semula dewan rendah Kongres buat pertama kali dalam tempoh lapan tahun itu, agenda Trump dan juga pentadbiran bekas ahli perniagaan dan bilionair itu tertakluk kepada pemantauan rapi oleh parti lawannya.
Dengan menguasai Kongres, Parti Demokrat boleh menyiasat lebihan cukai Trump, kemungkinan konflik kepentingan perniagaan dan dakwaan melibatkan kempen pilihan raya Presiden 2016 ada kaitan dengan Rusia.
Trump juga berdepan dengan tekanan untuk mengurangkan cita-cita perundangan beliau, kemungkinan terpaksa menghentikan janji beliau untuk membiayai tembok sempadan dengan Mexico, meluluskan pakej potongan cukai atau melaksanakan dasar tegasnya mengenai perdagangan.
Bahkan, keputusan majoriti mudah sudah cukup untuk memecat Trump jika terbukti Presiden menghalang keadilan atau semasa kempen pilihan raya Presiden 2016 beliau berpakat dengan Rusia.
Bagaimanapun, Kongres tidak boleh memecat Presiden tanpa sokongan majoriti dua pertiga dalam Dewan Senat yang kini masih dikuasai Parti Republikan.
Parti Demokrat berjaya mendahului lawannya meskipun beberapa kerusi masih belum diputuskan apabila meraih lebih 30 kerusi melepasi 23 kerusi bagi suara majoriti dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 435 anggota.
“Terima kasih kepada anda, esok akan menjadi hari baharu buat Amerika dan kami mempunyai tanggungjawab untuk mencari titik persamaan,” kata Pemimpin Parti Demokrat di Kongres, Nancy Pelosi.
Kemenangan Parti Demokrat banyak dibantu oleh pengundi wanita, muda dan Amerika Latin ketika 55 peratus wanita mendakwa mereka menyokong parti itu pada pemilihan kali ini berbanding 49 peratus pada 2014.
Pengundi berumur antara 18 dan 34 tahun turut menyokong Parti Demokrat iaitu 62 peratus berbanding 34 peratus memihak Parti Republikan, meningkat daripada jumlah diperoleh pada 2014 iaitu 54 peratus bagi Parti Demokrat manakala 36 peratus menyokong Parti Republikan.
Pengundi keturunan Amerika Latin juga memihak calon Parti Demokrat dengan 33 peratus sokongan berbanding 18 peratus yang diperoleh pada 2014.
Pengundi AS juga memilih dua wanita Islam Parti Demokrat untuk mengisi kerusi Kongres, sejarah pertama dicatat di negara yang tidak pernah reda dengan retorik anti-Islam.
Pelarian Somalia, Ilhan Omar menang kerusi Dewan Perwakilan di Minnesota, menggantikan Keith Ellison, yang juga wakil Islam pertama pernah dilantik ke Kongres.
Selain itu, pekerja sosial, Rashida Tlaib kelahiran Detroit daripada keluarga pendatang Palestin pula, memenangi kerusi Dewan Perwakilan tanpa dicabar wakil Parti Republikan.
Kemenangan dua ahli politik itu menjadikan jumlah wakil Islam di Dewan Perwakilan kepada tiga orang.
Ahli Kongres Parti Demokrat, Andre Carson, keturunan Afrika-Amerika yang beragama Islam turut dilantik semula selepas menang di Indiana. – REUTERS/AFP










