TAIPING 22 Nov. – Dua anggota polis cedera akibat dirempuh sebuah kereta ketika sedang meletakkan kon berhampiran kawasan pokok tumbang di Jalan Kampung Nibong, Padang Gajah di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, Koperal Ahmad Fazlee Khamaruzaman
dan Konstabel Nur Atiq Kamsani masing-masing mengalami kecederaan di kepala
dan kaki.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Razlam Ab. Hamid berkata,
kemalangan itu juga menyebabkan pemandu wanita kereta jenis Perodua Axia turut
tercedera.
Beliau berkata, kemalangan itu berlaku ketika kedua-dua anggota yang bertugas
di Balai Polis Padang Gajah memberhentikan kereta pasukan jenis Proton Waja
dengan lampu beacon yang menyala di atas jalan.
Katanya, tindakan kedua-dua anggota itu adalah untuk memasang kon ekoran
terdapat pokok tumbang menghalang jalan raya.
“Sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu wanita dari arah Taiping
kemudiannya telah melanggar kedua-dua anggota tersebut sebelum terbabas
merempuh kenderaan pasukan.
“Ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan
lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE










