KUALA LUMPUR 22 Nov. – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempengerusikan buat kali pertama Mesyuarat Majlis Sosial Negara selepas berlakunya perubahan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, antara fokus utama mesyuarat yang diadakan di Parlimen itu, adalah berhubung pelaksanaan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial.
“Program tersebut untuk menangani isu perkahwinan bawah umur dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak. Pencegahan bermula dengan kesedaran dan pendidikan serta sekolah merupakan medium terbaik untuk tujuan ini.
“Sebenarnya program ini sudah ada, dipanggil pendidikan seks tetapi memberikan konotasi yang tidak tepat. Jadi program ini mengajar anak-anak dari prasekolah tentang pengetahuan secara terperinci berkenaan reproduktif, sentuhan selamat, jangkitan, dandanan dan risiko-risiko” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.
Majlis Sosial Negara berfungsi untuk membuat keputusan dasar tentang hala tuju pembangunan sosial, menilai program dan strategi pembangunan sosial serta mengenal pasti dan membuat keputusan bagi menangani isu-isu berkaitan pembangunan sosial.
Sementara itu, menurut Dr. Wan Azizah, antara perkara yang telah dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat tersebut adalah terma rujukan Majlis Sosial Negara bagi memperkukuh dan memberi nafas baharu dalam pelaksanaan majlis ini.
“Turut dibincangkan adalah pelaksanaan Program Pendidikan Reproduktif dan Sosial (Pekerti) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
“Selain itu, adalah pelaksanaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers) di sekolah serta garis panduan yang terlibat untuk memberikan pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat khususnya remaja oleh Kementerian Pendidikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










