SAUDARA PENGARANG,
ANGKATAN Demokrasi Milenials Bersekutu (Muda) baru-baru ini telah menganjurkan sidang Dewan Muda Johor (DMJ) buat kali pertama di sebuah hotel di Johor Bahru. Dengan dihadiri 50 orang ahli, Dewan Muda Johor mampu menjadi satu platform bagi anak-anak muda berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun mengasah bakat mereka sebagai pemimpin serta pemidato berbakat.
Saya sendiri berkesempatan hadir dan melihat bagaimana ahli-ahli Dewan Muda Johor bersidang. Apa yang boleh saya katakan kewujudan Dewan Muda Johor ini benar-benar memberi pendedahan kepada mereka khususnya dalam bidang politik dan pentadbiran.
Syabas kepada Muda kerana berjaya menyediakan satu pentas bagi membolehkan anak-anak muda di Johor memperlihatkan bakat mereka. Yang menarik perhatian saya, kesemua ahli Dewan Muda Johor mempunyai kualiti perbahasan yang mantap dan baik dengan kombinasi idea-idea bernas serta berasas. Malah usul-usul yang dibahaskan juga dapat dibidas dengan bijak dan teratur oleh mereka.
Antara usul-usul yang dibahaskan sepanjang dua hari ini adalah tentang gesaan agar kerajaan Malaysia tidak meraktifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), menggesa kerajaan mempertingkatkan usaha mengatasi isu pengangguran khususnya dalam kalangan graduan dan belia serta pelbagai isu lain.
Dalam masa sama, platform ini dapat memupuk minat anak-anak muda dalam bidang politik serta mampu melahirkan pemimpin politik muda yang baharu demi menyambung legasi pada masa hadapan.
Bukan itu sahaja, Dewan Muda Johor ini juga dilihat sebagai medium terbaik kepada golongan muda untuk menyalurkan kritikan yang membina terhadap pentadbiran negara.
Tuntasnya, kewujudan Dewan Muda Johor sangat relevan pada hari ini khususnya dalam usaha kita melahirkan generasi pelapis yang benar-benar menjadi harapan kepada Johor khususnya dan Malaysia amnya.
DHIA HANI
Persatuan Pemikir Muda Johor










