KUALA LUMPUR 21 Nov. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan diskaun tambang murah 50 peratus dan 25 peratus bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) mulai 1 November hingga 31 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, promosi tambang murah itu adalah sebagai tanda terima kasih atas sokongan berterusan para penumpang setia ETS.
“Bagi promosi diskaun tambang murah 50 peratus, laluan ETS yang terlibat adalah di antara laluan KL Sentral–Gemas–KL Sentral dan Sungai Petani–Padang Besar–Sungai Petani bagi perjalanan pada hari Isnin hingga Khamis.
“Manakala bagi promosi diskaun tambang murah 25 peratus, promosi adalah untuk ke mana-mana destinasi laluan tren ETS yang sedia ada bagi perjalanan pada hari Selasa dan Rabu.
“Pembelian tiket boleh dibuat di kaunter-kaunter KTMB sahaja dan tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











