BANGKOK 14 Nov. – Kematian petinju remaja berusia 13 tahun semasa perlawanan amal Muay Thai mencetuskan kemarahan rakyat negara ini yang menggesa agar pertandingan seni mempertahankan diri itu diharamkan dalam kalangan kanak-kanak.
Anucha Tasako yang menggunakan nama Phetmongkol Sor Wilaithong rebah selepas lawannya melepaskan beberapa tumbukan pada kepalanya semasa perlawanan di wilayah Samut Prakan dekat sini pada Ahad lalu.
Rakaman melalui telefon pintar yang disiarkan oleh media tempatan menunjukkan tubuh mangsa terkulai atas kanvas gelanggang manakala pembantunya meluru masuk ke dalam gelanggang untuk membantu Anucha yang tidak bergerak.
Dia kemudian diisytiharkan meninggal dunia akibat pendarahan otak, kata polis.
Media tempatan melaporkan, mangsa mula terlibat dalam perlawanan itu sejak berusia lapan tahun dan telah bertanding dalam lebih 150 perlawanan.
Menurut polis, lawannya, Nitikron Sonde yang seusia dengannya merasa sedih dengan kematian mangsa.
“Saya menyesal tetapi saya hanya menjalankan tugas untuk menang agar saya boleh mendapatkan wang untuk membiayai pengajian saya,” katanya melalui Facebook.
Kedua-dua petinju tidak memakai topi keselamatan semasa perlawanan berlangsung.
Rang undang-undang bagi mengharamkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun mengambil bahagian dalam pertandingan itu sedang dipertimbangkan namun dijangka menerima sokongan ekoran kematian Anucha.
Penduduk negara ini yang berang dengan kejadian tersebut menyalahkan pengadil kerana tidak meleraikan petinju lebih awal untuk menamatkan perlawanan. – AFP










