KUALA LUMPUR 21 Nov. – Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan operasi merampas semula rumah yang disediakan sebagai kediaman transit di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang pada 6 Ogos lalu.
Operasi dijalankan selepas mendapati 32 penghuni gagal menyerahkan semula unit rumah transit itu walaupun notis penamatan mendiami unit-unit PA itu sudah dikeluarkan kepada 134 penghuni terlibat sejak Jun tahun lalu.
DBKL dalam kenyataannya berkata, penempatan sementara di PA Desa Rejang itu disediakan kepada penghuni asal Rumah Panjang Setapak Jaya yang membeli Rumah Kos Rendah (RKR) dan sudah mula menerima kunci rumah (RKR) bermula Oktober 2016.
Katanya, mereka dibenarkan tinggal di rumah transit tersebut dengan pembiayaan sewa ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga penghuni mendapat rumah baharu.
Pada tahun 2008, seramai 350 orang penduduk Rumah Panjang Setapak Jaya dipindahkan oleh pemaju, Tetuan Pancaran Nilai secara sementara selama lapan tahun.
Tujuan pemindahan tersebut adalah untuk memberi laluan kepada urusan penswastaan daripada pemaju kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pihak DBKL menyeru kesemua penghuni yang terlibat menyerahkan semula kunci unit rumah terbabit sebelum pihaknya mengeluarkan tawaran awam baharu kepada mereka yang lebih memerlukan rumah RKR. -UTUSAN ONLINE










